Kadet polis menjadi pengawas sekolah?






Menurut berita yang baru aku baca dari Berita Harian, Polis Negeri Sembilan telah mencadangkan untuk memilih anggota kor kadet polis untuk menjadi pengawas sekolah.

Mereka merasakan dengan adanya pengawas dari kadet polis, maka masalah sosial di kalangan pelajar dapat dibendung. Antara langkah lain yang di cadangkan adalah dengan mewujudkan majlis permuafakatan sekolah dan pegawai perhubungan sekolah yang terdiri daripada pegawai polis.

Bagi aku, cadangan ini amat baik, ini kerana displin yang terdapat dalam polis itu mampu untuk meningkatkan displin pelajar dan juga pada yang sama, pelajar ini juga dapat mengetahui secara lebih mendalam tentang masalah-masalah sosial yang lain.

Tetapi, adakah ini mencukupi?

Jiwa remaja sering di kaitkan dengan keadaan yang memberontak dan juga mencuba sesuatu yang baru, jika kita mengongkong pelajar itu sendiri dengan displin yang amat ketat, remaja itu sendiri akan mengulang kesalahan tersebut. Kenapa? Bagi mereka, dengan cara melakukan kesalahan dan di hukum, mereka merasa bangga dan juga dapat menunjukkan kehebatan mereka kepada rakan-rakan yang lain.

Pembangunan kaunseling yang baik amat diperlukan. Pembentukan lebih ramai kaunseling-kaunseling dari kalangan pelajar itu sendiri dapat membantu untuk merendahkan kadar masalah sosial.

Pembabitan pelajar dalam dalam kokorikulum juga dapat membantu untuk meningkatkan tahap keyakinan. Sebagai contoh, sewaktu aku di sekolah, terdapat beberapa orang kawan aku yang boleh dikatakan ‘gila-gila’, walaupun mereka bersikap sedemikian, namun apabila mereka dilantik untuk menjawat sesuatu dan juga memimpin persatuan atau kelab, mereka akan berusaha untuk melakukan yang terbaik.

Kewujudan guru displin di sekolah memang diperlukan, tetapi, aku berpendapat biarlah nama guru displin itu ditukar kepada perunding pelajar, perunding pelajar bukan sahaja mempunyai kebolehan untuk menguruskan masalah displin pelajar, tetapi, pada masa yang sama, perunding pelajar ini mempunyai kebolehan untuk membentuk dan membantu masalah pelajar ini dari sudut sikologinya. Dari sudut namanya pula, kita melihat perunding pelajar ini dapat merapatkan hubungan antara pelajar dan juga guru.Jika kita kembali ke zaman sekolah, apabila seseorang itu di panggil oleh guru displin, apakah yang terbayang di dalam fikiran pelajar-pelajar?sudah tentu mereka yang di panggil ini akan di rotan dll. Jadi, aku merasakan bahawa penukaran nama ini mampu untuk mengurangkan fikiran negatif pelajar terhadap tindakan guru.